Bangunan Perdana Putra
Desas-desus tentang pembubaran Parlimen dalam masa terdekat kembali hangat diperkatakan di seluruh negara.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Desas-desus tentang pembubaran Parlimen dalam masa terdekat kembali hangat diperkatakan di seluruh negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi turut mencetuskan spekulasi melalui hantaran dalam laman Facebook miliknya malam ini.

“Difahamkan anak bulan telah kelihatan dengan jelas di Putrajaya. Raya atau pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Astro Awani melaporkan, menurut sumber, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi.

Astro Awani turut mencetuskan persoalan sama ada Parlimen akan dibubar dalam masa 48 jam bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan secepat mungkin.

Setakat ini, belum ada pengesahan daripada Istana Negara atau Pejabat Perdana Menteri berhubung pertemuan Ismail Sabri dan Seri Paduka.

Sebelum ini, UMNO mencadangkan agar Parlimen dibubar pada awal bulan ini bagi supaya PRU-15 dapat diadakan sebelum musim monsun timur laut yang bermula pertengahan November.

Bagaimanapun, hasrat UMNO itu dibantah oleh parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Mereka mahu PRU-15 diadakan seawal-awalnya Mac tahun depan, selepas musim banjir berakhir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast