Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto MOHD ADZLAN, 04 OKTOBER 2022.

JEMPOL – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin ekonomi Malaysia tidak akan begitu terjejas berbanding negara lain meskipun dijangka berlaku kemelesetan ekonomi dunia pada tahun depan.

Beliau berkata, ini kerana Malaysia mampu meneruskan keadaan ekonomi yang dilihat menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan tahun ini.

Sebagai contoh, Perdana Menteri berkata, Malaysia telah membuktikan pencapaian ekonomi melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 berbanding lima peratus pada suku pertama tahun ini.

“Pencapaian yang direkodkan ini adalah antara yang terbaik di Asia Tenggara. Keyakinan kepada ekonomi negara juga jelas dalam kalangan pelabur antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Keluarga Malaysia di Dataran Aurora Bahau dekat sini malam ini.

Ismail Sabri berkata, selain itu, bagi separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing mencatat aliran langsung bersih lebih tinggi bernilai RM41.7 bilion berbanding RM23.3 bilion sebelum pandemik COVID-19.

“Pertumbuhan ekonomi suku kedua Malaysia (tahun ini) juga adalah tertinggi di ASEAN dan lebih tinggi berbanding beberapa negara maju dan serantau seperti China iaitu 0.4 peratus, Amerika Syarikat (1.6), Korea (2.9), Eropah (4), Singapura (4.4), Indonesia (5.4) dan Filipina (7.4),” katanya.

Beliau berkata, beberapa petunjuk ekonomi negara turut mencatatkan prestasi yang baik antaranya Indeks Pengurus Pembelian (PMI) terus melepasi tujuh paras nilai ambang iaitu 50.3 peratus dan jumlah ketibaan pelancong meningkat kepada 3.2 juta bagi tempoh Januari hingga Julai 2022.

Perdana Menteri berkata, melalui hasil peningkatan ekonomi itu, kerajaan mampu memperkenal Bajet 2023, belanjawan terbesar dalam sejarah iaitu berjumlah RM373.3 bilion, yang memberi tumpuan kepada seluruh rakyat dan komuniti perniagaan.

“Kita percaya walaupun tahun depan ekonomi dunia tidak menentu tetapi saya yakin dengan keadaan ekonomi yang kini ada di negara ini, kita (kerajaan) mampu memastikan negara (Malaysia) tidak berada dalam keadaan seperti negara lain.

“Walaupun pertumbuhan ekonomi dijangka mencabar tetapi tidak jadi begitu teruk berbanding negara-negara lain,” katanya sambil menambah beliau yakin kerajaan ketika ini mampu menjaga kepentingan rakyat jika diberi peluang untuk terus mentadbir negara pada masa akan datang. – Bernama