Empat mukim di daerah Baling dilanda banjir kilat hari ini.

BALING – Hujan berterusan sejak malam tadi menjejaskan 81 keluarga di empat mukim di daerah ini selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat.

Mukim terbabit adalah Mukim Baling, Pulai, Siong dan Kupang.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan air Sungai Ketil dan Kupang melimpah ke penempatan penduduk.

Antara kampung yang terjejas termasuk Kampung Bendang Sera, Sungai Batu, Seberang Pekan, Lubuk Pedati dan Taman Berlian dalam Mukim Baling.

Anggota APM Kedah memantau paras air sungai di beberapa kawasan.

“Bagi Mukim Pulai pula, Kampung Tok Weng, Tok Mat Ali manakala Mukim Siong membabitkan Kampung Kampung Siput dan Memali.

“Turut dinaiki air Kampung Padang Empang, Dusun dan Iboi di Mukim Kupang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun katanya tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Tambah beliau, air Sungai Ketil juga berada di paras berjaga-jaga dan penduduk yang tinggal berhampiran tebing diarah berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk. – MalaysiaGazette