Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad ketika berucap pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 Hijrah di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 09 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri-menteri dari Pas tetap menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta menganggap tindakan tidak bersetuju tentang sesuatu perkara adalah perkara biasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata demikian ketika ditanya sama ada Pas menarik sokongan terhadap Ismail Sabri susulan tidak bersetuju supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak diadakan tahun ini.

“Sokong (Ismail). Bila kami kata tak sokong,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini .

Idris yang juga Naib Presiden Pas turut menolak tindakan tersebut sebagai tikam belakang terhadap Perdana Menteri.

Pada minggu lepas, seramai 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini.

Ismail Sabri dalam reaksinya hari ini berkata, keabsahan kerajaan pimpinannya tidak terjejas dengan tindakan 12 menteri tersebut kerana sokongan kepada seseorang Perdana Menteri adalah tertakluk pada majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat dan bukan anggota Kabinet.

Beliau turut menegaskan, tidak timbul isu keabsahan kerajaan tergugat disebabkan surat berkenaan sebaliknya perkara itu hanya dibangkitkan pihak yang tidak memahami undang-undang hingga menimbulkan kekeliruan.

Pada 7 Oktober lepas, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan tindakan itu sebenarnya turut memberi gambaran sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri semakin berkurangan dalam kalangan anggota Kabinet. – MalaysiaGazette