Mizz Nina

KUALA LUMPUR – Selebriti popular, Syazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina dipilih antara penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M, bagi kategori Ikon Aktivis Kemanusiaan.

Penganugerahan itu diumumkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff ketika Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman dipilih berikutan pelbagai sumbangan dan jasanya dalam misi kemanusiaan dijalankan sehingga ke luar negara.

Sejak berhijrah dari dunia seni suara dan berhijab penuh sejak 2013, Mizz Nina aktif sebagai aktivis kemanusian sejak 2013 dan sudah melakukan misi bantuan kemanusiaan sehingga ke Palestin pada 2017.

Pada 2016, Mizz Nina bersama rakan kongsinya ada mengasaskan saluran gaya hidup Islam iaitu Deen of Peace Studios atau DOPS TV Sdn Bhd yang menghasilkan beberapa siri TV dan program bual bicara.

Foto Facebook JAKIM.

Beliau juga komited untuk berkongsi dan memberi kembali kepada masyarakat menerusi jalinan kerjasama dibuat dengan pelbagai organisasi seperti Cinta Syria Malaysia, 1moment4them, Possible Dreams International, Feeding The Needy, Miasa dan Into Taqwa Malaysia untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Pada Mei tahun lalu, menerusi Tabung MyAqsa Defenders (MAD) yang disertai 20 badan bukan kerajaan (NGO), selebriti dan ikon kemanusiaan dikhabarkan berjaya mengumpul dana hampir RM17.9 juta hasil sumbangan orang ramai untuk rakyat Palestin.

Perkara itu diumumkan Mizz Nina menerusi Instagram di mana dia sangat bersyukur dengan hasil kutipan dikumpul dan tidak menyangka mendapat sokongan luar biasa.

Hasil sumbangan itu juga dimaklumkan diguna secara berperingkat untuk disalur kepada klinik Malaysia Al-Aqsa, khidmat guaman di Sheikh Jarrah, kafalah keluarga miskin di Baitulmaqdis dan bantuan kecemasan Gaza.

Sementara itu, tokoh korporat, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir diumumkan penerima Anugerah Perdana, manakala Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), Prof Datuk Dr Azizan Baharudin menerima anugerah bagi Ikon Sains dan Peradaban.

Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam) TV3 dan TV9, Ahmad Noor Sulaiman (Ikon Media Islam); Pengasas Kumpulan Zikay, Datuk Mohd Khay Ibrahim (Ikon Korporat Islam), pesara guru Tadika, Chee Hoi Lan (Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia) dan pakar kaunseling, Hushim Salleh (Ikon Kaunselor dan Motivasi).

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan penganugerahan itu kepada semua penerima Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan. – MalaysiaGazette