Sulaiman Md Ali

MELAKA – Kerajaan negeri tidak mendapat sebarang maklumat mengenai pembatalan penganjuran ceramah program Maulidur Rasul melibatkan individu yang didakwa keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW malam tadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, setiap penceramah yang ingin mengadakan program di Melaka seharusnya mendapat kelulusan pihak berkuasa sebelum ia diteruskan.

“Tapi yang kamu maklumkan tadi (pembatalan penceramah keturunan ke-38 Rasulullah) maklumat itu belum sampai kepada kepada saya lagi.

“Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Datuk Md Rawi Mahmud) perkara itu akan dibawa ke Pejabat Mufti dahulu untuk melihat (dinilai),” katanya pada sidang media selepas program Majlis Penyerahan Cenderahati Bayi Qurratu A’yun Sempena Sambutan Maulidur Rasul 144H/2022M di Hospital Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pembatalan program individu dari Maghribi dikenali sebagai Mawla Muhammad Amin Al-Idrisi yang didakwa sebagai keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW di sini malam tadi.

Program itu sepatutnya dijadualkan berlangsung pukul 7.30 hingga 11.30 malam di sini malam tadi.

Ditanya adakah pembatalan program berkenaan dikeluarkan Jabatan Mufti, Sulaiman berkata, perkara itu di luar pengetahuannya kerana tidak berada di lokasi penganjuran.

Difahamkan, setakat ini, tiada satu pihak pun  bertanggungjawab menguruskan ceramah individu berkenaan termasuk tidak mengemukakan sebarang permohonan kepada Jabatan Mufti Melaka.

Sebelum ini, media melaporkan program dihadiri individu sama dibatalkan di beberapa buah negeri termasuk di Selangor, Kedah, Terengganu, Kelantan. – MalaysiaGazette.