KUALA LUMPUR – Di sebalik kegembiraan kejayaan Kuala Lumpur (KL) City FC menempah tempat slot final Piala AFC musim ini timbul desas-desus yang mengatakan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim tidak mengiktiraf kejayaan itu.
Menepis dakwaan tersebut, TMJ berkongsi hasil komunikasinya bersama pihak pengurusan KL City bagi membuktikan beliau sentiasa di belakang pasukan kerdil tersebut.
“Ada pihak yang tak habis-habis nak cari silap kita nak sensasikan cerita seolah-olah saya tak acknowledge kejayaan @klcityfootball dalam pertandingan AFC Cup. Sila lihat fakta dan bukan apa yang sesetengah makhluk nak spin,” tulisnya.
Tunku Ismail turut berkongsi empat lagi tangkap layar perbualannya bersama pengurusan KL City.
Berdasarkan perbualan tersebut, beliau berharap Hodak Bojan dikekalkan dan pasukan KL City akan terus jauh dari masalah politik dalaman yang hanya akan merosakkan momentum skuad itu.
Tunku juga berharap skuad The City Boys dapat melayakkan diri ke Kejuaran Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada musim depan secara automatik sekiranya mereka muncul juara pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung 22 Oktober ini.
Sebagai rekod, KL City mencipta kejayaan sensasi apabila mara ke pentas final Piala AFC buat pertama kali sekali gus berpeluang mengulangi pencapaian JDT sebelum ini.
Pada aksi final Antara Zon, anak buah Hodak berjaya merantai pemain kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana dengan kemenangan menerusi penentuan penalti 5-3 selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi 120 minit di Kompleks Sukan Sogdiana, Jizzakh di Uzbekistan.
Kini, KL City hanya perlu menghadapi kelab dari Oman, Al Seeb sebelum sejarah baharu buat bola sepak tempatan tercipta lagi. – MalaysiaGazette