lim guan eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dikritik dengan hebat penduduk Pulau Pinang ekoran sikap angkuhnya dan tuduhan rasuah yang dikaitkan dengannya ketika menjadi Ketua Menteri dahulu.

Memetik laporan Asia Sentinel, terdapat banyak persoalan dibangkitkan mengenai peningkatan kos projek infrastruktur yang sedang dalam pembinaan di Pulau Pinang.

Jelas portal itu, projek lebuh raya Pan Island Link (PIL1) sepanjang 19.5 kilometer (km) diunjurkan menelan belanja RM7.5 bilion, bersamaan RM385 juta setiap km sekaligus menjadikannya lebuh raya termahal yang pernah dibina di negara ini.

“Kos pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong pula dilaporkan melebih unjuran asal RM545 juta. Projek pembangunan Gurney Drive pula melonjak daripada RM175 juta kepada RM200 juta,” katanya.

Selain itu, Asia Sentinel menambah, dalam sesi perbicaraaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, lebih banyak rahsia didedahkan dalam keterangan pengasas dan Pengerusi Eksekutif Ewein Bhd., mendiang Ewe Swee Khang yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Portal itu memberitahu, Swee Khang mendakwa, beliau ingin mendapatkan tanah tebus guna untuk dibangunkan.

“Sebagai balasan atas bantuan dan muhibah Guan Eng, mendiang menulis bahawa beliau akan memberi unit-unit kondominium atau perkongsian keuntungan kepada Guan Eng.

“Swee Khang juga mendakwa bahawa Guan Eng membantunya mendapatkan kelulusan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk membangunkan projek perumahan di City of Dreams,” jelasnya.

Asia Sentinel turut mendakwa, wakil-wakil rakyat pembangkang di Pulau Pinang telah diberi tanah untuk dibangunkan di kawasan masing-masing sebagai kaedah untuk mendiamkan bantahan.

Baru-baru ini, media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, situasi menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu di Pulau Pinang adalah pada tahap membimbangkan.

Beliau menyatakan, berdasarkan statistik SPRM, sebanyak 919 aduan diterima pihaknya berhubung kesalahan itu sejak 2019 hingga kini.

Sehubungan itu, Asia Sentinel menjangka sokongan pengundi terutamanya golongan muda terhadap DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan merosot ekoran skandal rasuah yang menyelubungi pemimpin kanannya.

“Ramai ahli-ahli DAP yang muda merungut bahawa calon-calon dipilih atas ketrampilan mereka dan bukannya kerana kecekapan.

“Komitmen parti itu terhadap meritokrasi kini dipersoalkan, di mana sikap pilih kasih telah menjauhkan DAP daripada penyokongnya,” katanya. – MalaysiaGazette