Mohd Ali (depan kiri) dan Sulaiman (tengah) mengetuai lebih 5,000 peserta mewakili 119 kontinjen daripada agensi kerajaan dan syarikat swasta yang mengambil bahagian pada Majlis Perhimpunan Dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, Melaka pagi ini.

MELAKA – Umat Islam diseru meningkatkan persefahaman dan perpaduan demi kepentingan bersama sekaligus menjadikan ukhuwah Islamiah sebagai benteng ampuh bagi menepis agenda negatif musuh-musuh Islam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, masyarakat Islam juga tidak seharusnya membisu dan hanya berpeluk tubuh apabila maksiat berlaku atas alasan memelihara perpaduan.

Menurutnya, menegakkan kebenaran dan membasmi maksiat serta keburukan merupakan tugas yang wajib bagi umat Islam sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Imran ayat 110 yang bermaksud : “…Kamu merupakan sebaik-baik ummah yang diutuskan untuk menyerukan kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah.”

“Mutakhir ini, kita melihat bahawa bibit-bibit perpecahan mula menular dalam kalangan umat Islam disebabkan faktor hilangnya kepercayaan dan apabila amanah dikhianati.

“Tambah menyedihkan apabila umat Islam pada hari ini saling menuding jari antara satu sama lain,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di hadapan lebih 5,000 peserta mewakili 119 kontinjen daripada agensi kerajaan dan syarikat swasta yang mengambil bahagian pada Majlis Perhimpunan Dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, di sini pagi ini.

Perasmian dan perarakan diketuai Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata umat Islam sewajarnya melihat semula firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud : “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

“Justeru itu, berdasarkan mafhum ayat tersebut, marilah kita bersama-samalah berdoa dan memohon syafaat Rasulullah SAW agar semangat Keluarga Malaysia terus disematkan di dalam hati sanubari kita selari dengan tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’’.

“Atas dasar itulah, sepanjang tahun 2022 ini, pelbagai program telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta agensi-agensi agama yang lain demi membangunkan sahsiah masyarakat khususnya di Negeri Melaka ini.” katanya.

Mengulas lanjut Sulaiman menyeru kepada seluruh masyarakat agar mengambil kesempatan untuk bersama-sama menghidupkan program-program yang disediakan kerajaan negeri.

“Semoga dengan kehadiran muslimin dan muslimat ke program-program yang dianjurkan akan memupuk kekuatan ukhuwah kita sebagai umat Islam di mata masyarakat yang bukan Islam di luar sana. – MalaysiaGazette.