Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid menerima Manifesto PRU 15 MIC daripada Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran pada Perhimpunan Agung MIC ke-76 di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi mengelak menjadi mangsa pendakwaan terpilih seperti mana dilakukan ketika era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa PH mengamalkan politik balas dendam dan menyasarkan pemimpin BN apabila mereka membentuk kerajaan di Putrajaya dahulu.

“Kita bukan mahu mencabar sistem kehakiman tapi kita mahu cabar pertuduhan politik, pendakwaan terpilih kerana mereka melakukan balas dendam kepada pemimpin-pemimpin BN.

“Saya dimangsakan, Bossku (Datuk Seri Najib Razak) dimangsakan dan kini beliau berada di dalam, kita mahu keadilan mesti dilaksanakan.

“Inilah akibat kekalahan yang kita alami dalam PRU-14. Untuk mengelakkan itu, kita mesti menang dengan cemerlang dalam PRU-15,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC di sini hari ini.

Ahmad Zahid juga memberi jaminan, BN tidak akan mengamalkan politik balas dendam seperti mana dilakukan PH sebelum ini.

“Saya telah berjanji bahawa saya tidak akan pernah membalas dendam, kita tidak membalas dendam jika kita menang sebab kita orang baik-baik,” katanya.

Sebaliknya, beliau mahu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil iktibar daripada perbuatannya dan kembali ke pangkal jalan.

“Atuk (Dr. Mahathir)… Allah Taala telah bagi kau panjang umur, taubat dengan segera. Abahkaw (Tan Sri Muhyiddin Yassin)… jangan aniaya orang lain, faham tak apa, tak faham pun tak apa,” katanya.

Menurut beliau, kemenangan mana-mana parti dalam pilihan raya bukan tidak boleh menghalalkan perbuatan mereka termasuk mengamalkan politik balas denda terhadap pesaing mereka.

“Balas dendam kepada saingan, tidak pernah ada dalam sejarah BN. Untuk itu, kita mesti mara ke hadapan, kita kena melakukan kesaksamaan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette