KUALA LUMPUR – Mendakwa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang menitah supaya semua pihak bersiap sedia menghadapi banjir, Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan terus fokus membantu mangsa banjir.
Ketua Parlimen DAP, Nga Kor Ming berkata, ini membuktikan PH mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat, bukan kemaruk kuasa seperti BN.
”Terbukti Kerajaan BN adalah kerajaan yang paling tidak bertanggungjawab kerana setelah bentang belanjawan RM372.3 billion, Parlimen dibubar tanpa belanjawan diluluskan.
“Adalah jelas institusi Parlimen yang mulia telah diperlekehkan dan sikap tidak bertanggungjawab ini adalah amat dikesali,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kor Ming menambah, dengan pembubaran Parlimen hari ini, Kerajaan BN juga adalah amat tidak sensitif dengan perasaan masyarakat India yang sedang sibuk membuat persiapan menyambut perayaan Deepavali menjelang 24 Oktober ini.
Tambahnya, terbukti slogan “keluarga Malaysia” hanya tinggal retorik politik saja.
Dakwanya lagi, di bawah pemerintahan BN dan PN, mata wang ringgit kini telah merudum sehingga ke paras paling teruk sejak krisis kewangan Asia Tenggara 1997, kadar inflasi negara meningkat dan kenaikan harga barang kian membebankan, jumlah kadar bunuh diri rakyat mencapai tahap kritikal dan negara kita juga terus terpalit dengan skandal najis rasuah seperti skandal enam kapal perang LCS yg menelan kos RM9.1 billion.
Meskipun mengkritik UMNO dan BN, Kor Ming menerusi kenyataan ini meminta rakyat memilih PH bagi kerajaan baru yang bersih, berintegriti dan tumpu fokus mengangkat agenda reformasi demi kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan kemakmuran negara. – MalaysiaGazette