JOHOR BAHRU – Pemilik sebuah hotel yang didakwa mabuk dibelasah oleh tiga individu selepas memasuki bilik pelanggannya pada kejadial pagi kelmarin.

Lelaki itu dipukul oleh kenalan kepada pelanggan tersebut kerana memasuki bilik tanpa kebenaran di premis yang terletak dekat Desa Cemerlang, Ulu Tiram.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak yang dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, lelaki berusia 62 tahun turut disimbah cat kerana memasuki bilik pelanggan lain tanpa kebenaran dalam kejadian 3.30 pagi hari tersebut.

”Pihak polis menerima laporan daripada mangsa kerana beliau bukan sahaja dipukul malah disimbah cat putih oleh tiga suspek lelaki tempatan berhampiran hotel berkenaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan polis mendapati lelaki berkenaan mempunyai bau alkobol yang kuat.

Mohd Sohaimi berkata, polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan masing-masing berusia 31, 52 dan 55 di Jalan Tanjung Taman Desa Cemerlang dan dJalan Persiaran Seri Alam.

Hasil semakan rekod lampau mendapati eorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Semua suspek kini ditahan reman sehingga Rabu ini. – MalaysiaGazette