Orang awam menyaksikan pengumuman Khas yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Chow kit, Kuala lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing- masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen.

Gesaan Perdana Menteri itu dibuat berikutan ada beberapa buah negeri memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

Ismail Sabri berkata demikian dalam Perutusan Khas yang menyaksikan Parlimen ke-14 dibubarkan hari ini bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan dalam tempoh 60 hari.

“Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, dengan pengumuman pembubaran Parlimen, mandat akan dipulangkan kepada rakyat kerana mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

Katanya, proses itu berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan.

Pembubaran ini juga, katanya, dilaksanakan bagi menoktahkan suara- suara yang selama ini meratib keabsahan Kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan bangsa.

“Akhir kalam, dengan penuh keinsafan, pengharapan dan tawakal, saya mendoakan semoga seluruh Keluarga Malaysia dan negara sentiasa dipayungi rahmat, dilimpahi berkat.

“Semoga disuburkan hati kita untuk terus mendokong agenda besar pencapaian kemakmuran serta kemajuan Malaysia yang tercinta,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast