Pengerusi PH Johor Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) mempengerusikan mesyuarat.

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor kecewa sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat ini.

Ini kerana, menurutnya, negara sedang berhadapan kebarangkalian musim tengkujuh yang boleh menyebabkan banjir di banyak lokasi termasuk di Johor.

“Perkara ini telah pun diramalkan berdasarkan fakta, data dan sains menerusi kajian Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Mengulangi pendirian, Pakatan Harapan Johor sekali lagi menegaskan keutamaan kita pada ketika ini ialah mempersiapkan diri bagi menghadapi kebarangkalian besar risiko banjir, bukan sibuk membincangkan soal kuasa dan pilihan raya,” katanya.

Walau bagaimanapun PH Johor tetap mengambil langkah bersiap sedia menghadapi PRU-15.

Ketetapan itu diambil dalam mesyuarat yang diadakan petang semalam.

“Meskipun begitu, Pakatan Harapan Johor akan tetap bersiap siaga sekiranya Parlimen dibubarkan bila-bila masa dari sekarang.

“Justeru, dalam memberikan fokus para petugas parti, kepimpinan segenap peringkat serta wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan Johor untuk berdepan musim tengkujuh.

“Kami juga akan tetap mempersiapkan jentera parti agar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran dan perlaksanaan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Pengerusi PH Johor Datuk Seri Salahuddin Ayub dan tiga timbalan pengerusinya Aminolhuda Hassan, Syed Ibrahim Syed Noh dan Liew Chin Tong.

Sejak semalam beberapa media membuat spekulasi kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membubarkan Parlimen hari ini bagi memberi laluan kepada PRU-15.

Media terbabit turut melaporkan bahawa Ismail Sabri telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam bagi memohon perkenan.

Bagaimanapun sehingga kini tidak ada kenyataan rasmi sama ada daripada Pejabat Perdana Menteri mahupun Istana Negara.-MalaysiaGazette