Dr Santhara Kumar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar dilantik  Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) berkuatkuasa 8 Oktober lepas.

Setiausaha Agungnya, Hizwan Ahmad berkata, lantikan itu telah dilakukan oleh Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu bersama Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar disahkan menyertai PBM.

Penyertaan itu sekali gus menjadikan PBM mempunyai enam wakil rakyat, masing-masing bekas ahli Bersatu, PKR dan DAP ketika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Untuk makluman juga, pelantikan Santhara ini juga boleh dianggap sejarah khasnya dalam kalangan pemimpin India yang pertama dilantik menerajui jawatan nombor dua parti dalam sebuah parti berbilang kaum.

Sebelum ini Santhara antara 10 Ahli Parlimen yang mengikut jejak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk keluar PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Pada 24 September, media melaporkan PBM diwakili Zuraida sendiri mewakili Parlimen Ampang, selain Larry Sng (Julau), Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau) dan Datuk Dr Mohamadin Ketapi (Lahad Datu) di Dewan Rakyat.

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu pula adalah dua di Selangor, iaitu Haniza Talha (Lembah Jaya) dan Dr Daroyah Alwi (Sementa), selain tiga di Perak iaitu Leong Cheok Keng (Malim Nawar), A Sivasubramaniam (Buntung) dan Paul Yong Choo Kiong (Tronoh).

Sabtu lepas, Zuraida yang juga Parlimen Ampang  dilantik sebagai presiden baharu pada keputusan sebulat suara di  Mesyuarat Majlis Tertinggi PBM. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast