Muhammad Sanusi Md. Nor

KUALA LUMPUR – Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin panas apabila banyak pihak berterusan membuat spkeluasi mengenai pembubaran Parlimen.

Terbaharu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjangkakan akan ada pengumuman dibuat mengenai perkara itu petang ini.

“Dok rasa macam depa nak umum petang ni,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau yang dipercayai ada kaitan dengan desas desus mengenai pembubaran Parlimen.

Semalam, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 H Bersamaan 2022.

Pertemuan empat mata itu menguatkan lagi teka-teki bahawa Dewan Rakyat akan dibubar dalam tempoh 48 jam.

Bagaimanapun, Ismail Sabri sebelum ini menekankan bahawa pembubaran Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri, yang kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti ataupun membubarkan Parlimen.

Hari ini, Majlis Kerja Tertinggi UMNO sekali lagi akan mengadakan mesyuarat pada pukul 8 malam di Bangunan Menara Dato Onn dipercayai bagi membincangkan calon yang bakal disenaraikan bagi pilihan raya berkenaan. – MalaysiaGazette