Nur Jazlan Mohamed

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) akan memastikan Johor akan menjadi kubu kuat gabungan parti itu sekali lagi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusi BN Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tidak mustahil keputusan PRU-15 akan mengulangi kejayaan yang dicatatkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac lalu.

“Jentera kami telah bersedia untuk PRU-15 sejak pilihan raya negeri yang merupakan medan ujian yang baik untuk kami. Akan ada sedikit perubahan kecil dalam jentera kami tetapi secara keseluruhan kami sudah bersedia.

“Kita akan pastikan BN akan meneruskan kejayaan mencatat kemenangan besar di Johor semasa PRU-15,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nur Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi UMNO negeri dan Ketua UMNO Bahagian Pulai  berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembubaran Parlimen sudah pasti disambut baik.

Pada PRN lalu, BN mencatat kemenangan besar dengan 40 kerusi manakala Pakatan Harapan hanya memenangi 12 kerusi, Perikatan Nasional tiga kerusi manakala MUDA hanya satu kerusi. – MalaysiaGazette