Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menyambut kehadiran seramai lebih 5,000 orang mahasiswa baharu bagi sesi pendaftaran 2022/2023.

Menurut Dr. Iskandar Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Universiti Malaya Week of Welcome (UM-WOW) 2022/2023 dan juga Pengarah Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Malaya, pendaftaran pelajar ke kolej kediaman diadakan pada hari Jumaat dan Sabtu.

Seramai 1,800 pelajar mula mendaftar dan lebih 3,000 pelajar mendaftar semalam.

”Pihak Universiti Malaya juga membuat persiapan tambahan pada musim hujan ini dari segi menyediakan khemah-khemah dan ruang-ruang menunggu yang lebih banyak dan menugaskan staf-staf sokongan, polis bantuan dan pembantu mahasiswa bagi melancarkan proses pendaftaran pelajar seterusnya ke kolej kediaman masing-masing,” katanya.

Muhammad Ielhan Mohd Nujhan pelajar jurusan perubatan, Fakulti Perubatan berkata, beliau agak gementar pada hari ini dan berharap proses pendaftaran ke kolej kediaman berjalan dengan lancar.

”Saya membuat persediaan dari segi mental dan fizikal bagi menyambung pelajaran ke Universiti Malaya, dan dengan berbekalkan motivasi dari kedua ibu bapa saya untuk menamatkan pelajaran dan bergraduasi sebagai seorang pegawai perubatan,” katanya.

Sridaran yang berasal dari Melaka pula berkata: ”Saya bercita-cita untuk menjadi seorang guru sains dan sangat bersyukur dapat menyambung pelajaran ke Universiti Malaya.

Menurut bakal peguam, Kasih Seri Nurnilam Sari dari Pulau Pinang juga sangat gembira dapat melanjutkan pelajaran ke Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya yang telah melahirkan alumni-alumni hebat.

”Saya berharap dapat belajar banyak ilmu baru dan semestinya menjadi pelajar cemerlang dan seterusnya dapat bergraduasi dan menjadi seorang peguam,” ujarnya.

Song Huimin, pelajar jurusan Sains Komputer dan Teknologi Maklumat pula memberitahu, dia memilih Universiti Malaya kerana kampus besar di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Seorang bapa, Ragunathan Jayaraman, dari Klang, Selangor berbangga kerana anak perempuannya dapat melanjutkan pelajaran dalam jurusan yang diimpikan.

”Dari kecil saya bawa anak perempuan saya ke Universiti Malaya, kini, saya berjaya dan selesai menghantar anak saya ke sini. It’s like a dream came true,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast