Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bercakap kepada media selepas hadir ke perjumpaan biro Politik Bersatu di Publika, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan pembubaran Parlimen hari ini adalah sebagai permulaan UMNO mahu mengangkat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa ia juga membuktikan UMNO dilihat terlalu jauh terpisah dengan kehendak dan keperluan rakyat.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan sahaja perdana menteri paling singkat dalam sejarah tetapi hanya akan diperkudakan dalam pilihan raya nanti.

“UMNO sudah menunjukkan rancangan mereka semasa Pilihan Raya Negeri Johor lalu,” dakwanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Justeru, beliau berkata, rakyat perlu menilai sikap UMNO.

“UMNO dipimpin oleh kluster mahkamah yang menolak dan merosakkan usaha perpaduan ummah, tidak peduli nasib rakyat yang berdepan dengan risiko banjir dan bencana alam dan UMNO masih belum berubah dari budaya rasuah ‘ambil mana yang sempat’,” katanya lagi.

Jelasnya, keutamaan UMNO bukan rakyat tetapi kuasa dan harta semata-mata.

Dalam pada itu, Wan Saiful menyeru rakyat agar membuat penilaian berdasarkan kecintaan kepada negara dan tanah air, beserta tekad untuk membawa pembaikan kepada Malaysia.

“Biarlah rasa cinta kepada negara itu membawa kita untuk membuat pilihan yang betul. Satu-satunya gabungan yang terbukti bersih dan menjaga kebajikan rakyat ialah Perikatan Nasional (PN),” tambahnya.

Tambahnya lagi, Bersatu dan PN komited untuk menawarkan agenda prihatin rakyat, agenda integriti dan agenda kemakmuran bersama.

“Calon-calon kami akan melalui proses saringan yang rapi supaya semuanya bersih dan istiqamah. Jentera pilihan raya dan jentera Penerangan Bersatu telah dipersiapkan daripada awal malah Skuad Prihatin juga telah dikerah bersiap menghadapi bencana banjir.

“Kita bersedia bukan sahaja untuk menyantuni rakyat mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 tetapi bersedia membantu rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu, Ismail Sabri menerusi satu perutusan khas hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen bermula hari ini selepas menghadap  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Pesanan untuk wan Saiful:-
    1. Jaga parti sendiri. Biarlah parti orang nak buat apa pun.
    2. Kalau bersih sangat parti tu.. minta korban harta anda untuk rakyat kalau berani.

  2. Woi bulat..UMNO dan BN nak lantik sape pun, yg ko sibuk apahal? Ko tak confident parti Mudin jd PM kaa? haaa

Comments are closed.