KUALA LUMPUR – Bilangan penganggur pada Ogos 2022 terus berkurang kepada 612,000 orang berbanding dengan 620,700 orang pada Julai 2022.
Kedudukan pasaran buruh pada bulan Ogos 2022 kekal stabil berikutan prestasi ekonomi yang semakin baik dan memberangsangkan, kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurutnya, aktiviti perniagaan serta sosial terus beroperasi seperti biasa, membolehkan ekonomi pulih semula dengan lebih kukuh dan keperluan tenaga buruh semakin meningkat.
Bilangan tenaga buruh pada Ogos 2022 semakin kukuh dengan peningkatan sebanyak 30,500 orang atau bersamaan dengan peningkatan 0.2 peratus kepada 16.63 juta orang (Julai 2022: 16.60 juta orang).
Kadar penyertaan tenaga buruh terus merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 69.7 peratus pada bulan tersebut.
Tambah beliau, bilangan penduduk bekerja pada bulan Ogos 2022 terus stabil dengan merekodkan peningkatan sebanyak 39,300 orang atau 0.2 peratus kepada 16.02 juta orang (Julai 2022: 15.98 juta orang).
Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus bertambah, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan & minuman, perdagangan borong & runcit dan aktiviti pentadbiran & khidmat sokongan.
Trend yang sama juga dicatatkan dalam sektor pembuatan dan pembinaan manakala guna tenaga dalam sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian berkurangan.
Menurutnya, kategori pekerja yang bergaji meningkat sebanyak 22,100 orang (+0.2 peratus) kepada 12.17 juta orang pada bulan Ogos 2022 (Julai 2022: 12.14 juta orang) atau mewakili 76.0 peratus daripada penduduk bekerja.
Pada masa yang sama, penduduk bekerja sendiri (selfemployed) juga meningkat sebanyak 17.2 ribu orang (+0.6 peratus) kepada 2.80 juta orang (Julai 2022: 2.79 juta orang).
Katanya, kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif bagi memastikan kadar pengangguran kekal rendah termasuk meneruskan insentif penggajian kepada majikan dan memudah cara pencarian pekerjaan.
Antara 1 Januari 2022 hingga 30 September 2022, seramai 58,550 orang telah mendapat manfaat di bawah Program JaminKerja – Insentif Penggajian.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga telah berjaya melakukan penempatan pekerjaan untuk 143,643 orang dalam
tempoh yang sama.
Selaras dengan kedudukan ekonomi yang semakin baik dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah meningkat kepada 6.5 peratus – 7.0 peratus pada tahun ini serta inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Keluarga Malaysia, pasaran buruh dijangka bertambah baik dan kekal di tahap guna tenaga penuh.
Kadar pengangguran dijangka terus berkurangan secara beransur-ansur tahun ini. – MalaysiaGazette