KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pagi ini, menjejaki prestasi lemah Wall Street semalaman berikutan kebimbangan yang kian meruncing mengenai kemelesetan dan peningkatan kadar faedah dan ini menyebabkan sentimen menjadi tidak menentu, kata seorang peniaga.
Pada 9.11 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.94 mata kepada 1,396.06 daripada 1,406.00 penutup Jumaat.
Pasaran ditutup semalam sebagai cuti umum gantian sambutan Maulidul Rasul.
Indeks penanda aras merosot 5.42 mata untuk dibuka pada paras 1,400.58.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 200 berbalas 42 manakala 59 kaunter tidak berubah, 2,058 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 243.77 juta unit bernilai RM121.44 juta.
Dalam nota penyelidikan, Rakuten Trade Sdn Bhd berkata dagangan di bursa tempatan dijangka lebih berhati-hati hari ini berikutan kemerosotan secara meluas semalam di peringkat serantau.
“Justeru, kami menjangkakan indeks bergerak dalam aliran julat 1,395-1,410 dengan saham teknologi mungkin menyaksikan beberapa kegiatan jualan hari ini,” katanya.
Sementara itu di dalam negara, firma pembrokeran itu menambah pembubaran Parlimen ke-14 pada hujung minggu yang membuka jalan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) seharusnya menghidupkan semula minat belian dalam sektor pembinaan yang disokong oleh peruntukan besar dalam Bajet 2023.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa — Maybank dan IHH Healthcare masing-masing turun sembilan sen kepada RM8.56 dan RM5.67, Public Bank susut dua sen kepada RM4.24, Petronas Chemicals kerugian empat sen kepada RM8.53 dan CIMB naik tiga sen kepada RM5.28.
Bagi saham aktif, Bumi Armada lemah 1.5 sen kepada 38 sen, Advance Synergy menambah 1.5 sen menjadi 7.5 sen, Velesto turun setengah sen kepada 11.5 sen dan MAG Holdings tidak berubah pada 18 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 70.30 mata kepada 9,980.49, Indeks FBM 70 lemah 92.69 mata menjadi 12,159.18, Indeks FBMT 100 jatuh 66.84 mata kepada 9,731.70, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 81.11 mata kepada 9,990.19 dan FBM ACE lebih rendah 72.95 mata kepada 4,636.02.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 77.64 mata menjadi 15,994.57, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.57 mata kepada 171.48, Indeks Perladangan lemah 45.84 mata kepada 6,421.48 dan Indeks Tenaga menguncup 12.39 mata kepada 684.80. – BERNAMA