Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis awal pagi ini kerana disyaki menyamun seorang pembantu kedai makan di Taman Putra, di Ampang, dekat sini, semalam.

Bagaimanapun dua lagi rakan suspek masih lagi bebas dan diburu polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 5 pagiĀ  semalam, mangsa yang dalam perjalanan pulang dari Bukit Ampang dengan menaiki motosikal ditahan oleh tiga lelaki bermotosikal yang mengaku sebagai anggota polis.

“Suspek telah memberitahu pengadu bahawa laluan tersebut tidak boleh dilalui sebelum pengadu dan rakan-rakan kemudian beredar dari lokasi tersebut dan semasa pengadu berada di persimpangan lampu isyarat di Taman Putra, pengadu sedar kesemua suspek sedang mengejarnya.

“Pengadu yang merupakan pekerja sambilan sebagai pembantu kedai makan cuba melarikan diri bersama rakan-rakannya dari situ namun suspek telah berjaya menahan motosikal pengadu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, salah seorang suspek kemudian telah mengambil wang tunai RM20 dan telefon bimbit sebelum membenarkannya pulang ke rumah.

Menurut Mohamad Farouk, bertindak atas laporan mangsa yang berusia 16 tahun dan maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya membuat tangkapan terhadap salah seorang suspek di Kampung Sungai Takali, Hulu Langat pada jam 1 pagi tadi.

Jelasnya, pemeriksaan ke atas suspek di kediamannya membawa kepada rampasan telefon bimbit milik mangsa selain pakaian, topi keledar dan motosikal yang digunakan suspek semasa menyamun.

Katanya, siasatan mendapati suspek yang berusia 33 tahun bekerja sebagai mekanik motosikal dan mempunyai lima rekod jenayah lampau dan satu rekod lampau dadah.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Meth dan Benzo, katanya.

“Suspek telah direman selama empat hari hingga 14 Oktober ini sementara dua rakannya yang masih bebas dan sedang diburu,” ujar beliau.

Mohamad Farouk berkata, kes disiasat bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan rompakan berkumpulan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Tambah beliau, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyamar sebagai penjawat awam dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. -MalaysiaGazette