KUALA LUMPUR – Pelabur asing terus menjual ekuiti Malaysia minggu lepas, menunjukkan aliran keluar dana asing lima minggu berturut-turut.

Aliran keluar bersih untuk minggu itu adalah sebanyak RM336.9 juta, separuh daripada jumlah yang dilihat pada minggu sebelumnya RM740.6 juta.

MIDF Research berkata, satu-satunya hari yang menyaksikan aliran masuk bersih daripada pelabur asing pada hari Selasa sebanyak RM59.64 juta selepas menjadi penjual bersih selama 14 hari dagangan secara berturut-turut.

Bagaimanapun, aliran jualan bersih berterusan semula pada hari Rabu hingga Jumaat.

Sebahagian besar aliran keluar bersih asing adalah pada hari Jumaat sebanyak RM143.36 juta dan Isnin RM112.42 juta.

Sementara itu, pelabur asing juga menjadi penjual pada hari Rabu dan Khamis masing-masing RM68.05 juta dan RM72.71 juta.

Firma penyelidikan itu berkata, tiga sektor utama menyaksikan aliran keluar bersih oleh pelabur asing adalah perkhidmatan kewangan (RM310.8 juta), teknologi (RM52.7 juta) serta produk pengguna dan perkhidmatan (RM42.1 juta).

Tiga sektor utama adalah sektor pembinaan (RM117.8 juta), telekomunikasi dan media (RM32.5 juta) dan tenaga (RM27 juta).

Dalam pada itu, pelabur institusi merupakan pembeli bersih bagi tiga minggu berturut-turut dengan belian sebanyak RM413.47 juta minggu lalu.

Mereka merupakan pembeli bersih setiap hari kecuali hari Selasa apabila menjual sebanyak RM33.04 juta.

Katanya, belian bersih adalah konsisten melepasi RM100 juta, dengan jumlah terbesar pada hari Jumaat sebanyak RM137.71 juta.

MIDF menambah, pelabur runcit bertukar menjadi penjual bersih sebanyak RM76.56 juta minggu lepas selepas melakukan belian bersih sejak tiga minggu lalu.

Mereka melupuskan masing-masing sebanyak RM26.6 juta, RM33.01 juta dan RM31.93 juta pada hari Selasa, Rabu dan Khamis dan merupakan pembeli bersih pada hari Isnin dan Jumaat pada RM9.33 juta dan RM5.65 juta.

Sehingga kini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 24 daripada 40 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM6.29 bilion.

Manakala pelabur institusi adalah penjual bersih selama 29 daripada 40 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM8.47 bilion.

Sementara itu, pelabur runcit menjadi pembeli bersih selama 26 daripada 40 minggu 2022 sebanyak RM2.19 bilion.

MIDF Research menambah, dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan, diterajui oleh pelabur asing sebanyak 31.53%, pelabur institusi 17.76% dan pelabur runcit pada 9.89%. – MalaysiaGazette