Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika bercakap pada sidang media khas berkenaan persiapan menghadapi pilihanraya bagi Parti Gerakan Tanah Air (GTA) yang akan bertanding di PRU 15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat perang antara Rusia dan Ukraine yang berlarutan ketika ini tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

Beliau yang terkenal sebagai pemimpin dunia yang berani dan lantang bersuara berhubung isu antarabangsa menyifatkan perang antara kedua negara berjiran itu sebagai ‘perang bodoh’.

Malah beliau sempat berseloroh bahawa Presiden Russia, Vladimir Putin lebih mengetahui punca perang itu terjadi.

“Saya fikir saya akan tanya Putin kerana dia lebih lebih tahu mengenai itu (perang).

“Saya fikir perang ini adalah perang bodoh. Ia tidak sepatutnya ada perang sama sekali.

“Ia memerlukan rundingan apa yang perlu diputuskan untuk dilakukan NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) ke atas Ukraine yang memiliki sempadan sama dengan Russia yang takut dengan tindakan NATO,” katanya.

Beliau diminta mengulas sama dunia akan mengisytiharkan perang Rusia dan Ukraine sebagai perang dunia ketiga gara-gara situasi yang semakin meruncing.

Sabtu lalu, tiga maut akibat letupan bom yang memusnahkan jalan raya dan jajaran rel menghubungkan Russia dan Semenanjung Crimea.

Putin menyalahkan perkhidmatan rahsia Ukraine susulan kemusnahan jambatan Crimea Russia akibat letupan besar yang disifatkannya sebagai ‘tindakan pengganas’.

Berdasarkan video dikongsikan, Putin ketika pertemuan dengan ketua jawatankuasa penyiasatan berkata, dalang, pelaku dan penaja adalah perkhidmatan rahsia Ukraine.

Katanya, tidak dinafikan ia adalah tindakan pengganas, bertujuan memusnahkan infrastruktur awam Russia yang kritikal.

Bagaimanapun Ukraine tidak mengakui tindakan itu berpunca daripada pihaknya.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Siasatan, Alexander Bastrykin ketika pertemuan dengan Putin, berkata ia tindakan pengganas yang didalangi perkhidmatan rahsia Ukraine.

Trak itu, katanya, melalui Bulgaria, Georgia, Armenia, wilayah Rusia di Utara Ossetia, kemudian Krasnodar sebelum tiba di jambatan terbabit.

Sejak Februari lalu, Russia melancarkan perang berskala penuh terhadap Ukraine dengan menyasarkan bandar-bandar utama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast