pemerhati dibenarkan membuat pemerhatian proses-proses pilihan raya sehinggalah pengisytiharan keputusan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Permohonan sebagai pemerhati Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dibuka bermula hari ini sehingga 21 Oktober depan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, pemerhati dibenarkan membuat pemerhatian proses-proses pilihan raya sehinggalah pengisytiharan keputusan.

Permohonan sebagai pemerhati yang mewakili organisasi adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Sila layari Portal SPR di alamat https://www.spr.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memuat turun Borang Permohonan, katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, SPR memaklumkan permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi PRU-15 telah dibuka serta-merta.

Pembukaan permohonan berkenaan dibuat sejurus selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen.

Manakala tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan kelak selepas SPR bermesyuarat bagi menentukan tarikh-tarikh pilihan raya.

Seterusnya untuk permohonan undi pos bagi Kategori 1A (Petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media) hendaklah memohon secara manual menggunakan Borang 1A yang dimuat turun dari portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my dan dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan. – MalaysiaGazette