Foto Facebook Kelantan FC.

KUALA LUMPUR – Kelantan FC mahu menjadikan saingan Piala Malaysia 2022 sebagai medan menguji kemampuan para pemain sebagai menghadapi saingan Liga Super
musim depan.

Ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya, berdasarkan undian yang telah berlangsung 6 Oktober lalu, Rezal melihat pasukannya tiada pilihan lain kerana bakal berdepan pasukan dari Liga Super dari pusingan pertama.

“Kita cuba bagi tentangan kepada sesiapa sahaja yang ditemui dan memandangkan rata-rata yang akan ditemui nanti adalah dari Liga Super, saya rasa kita boleh kenal pasti tahap kemampuan pemain memandangkan kami akan beraksi di Liga Super selepas ini.

“Kita akan cuba ambil manfaat daripada aksi TM Piala Malaysia dan cuba untuk mara sejauh mungkin kerana bukan mudah untuk lepasi setiap peringkat.

“Berdasarkan format kalah mati iaitu secara timbal balik iaitu di tempat sendiri dan laman lawan, saya rasa kalau kami boleh mara sehingga ke peringkat suku akhir sudah sesuatu yang sangat baik,” katanya.

Dijangka bertemu Sarawak United FC atau Penang FC iaitu pasukan yang berada di tangga ke-10 Liga Super, laluan seterusnya bakal memperlihatkan mereka akan
berdepan pasukan dari kedudukan ke-9 atau 1 (Johor Darul Ta’zim) dari Liga Super jika layak ke suku akhir.

Kelantan menutup cabaran di Liga Premier dengan meraih tempat kedua di belakang JDT II walaupun banyak mendahului kedudukan sepanjang musim ini sebelum
dipintas JDT II dalam beberapa perlawanan terakhir.

Dalam pada itu, Rezal berkata, mereka meletakkan sasaran menempatkan diri dalam kalangan lapan terbaik di persaingan TM Piala Malaysia 2022.

Sebagai pasukan dari Liga Premier, beliau melihat itu sebagai pencapaian paling realistik kepada Kelantan namun dalam masa tidak menolak ingin melangkah lebih jauh.

“Sesiapa sahaja yang kita akan temui sama ada Sarawak United atau Penang, itu tidak jadi masalah tetapi apa yang perlu diberi tumpuan adalah persiapan
kita.

“Kita kena ingat walaupun pasukan yang akan ditemui ini nanti berada di antara 10 ke 11 Liga Super, itu bukan bermaksud mereka sebuah pasukan yang lemah.

“Mereka datang dari Liga Super, sudah tentu tahap permainan mereka sangat berbeza dengan tahap Liga Premier, jadi kita kena perlu bersedia dalam banyak aspek,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast