BAGAN SERAI – Barisan Nasional (BN) Perak menyenaraikan 126 nama sebagai calon cadangan, untuk dipertimbangkan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak itu berkata, BN Perak sudah menyerahkan senarai calon untuk pertimbangan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pucuk pimpinan parti, setelah diminta berbuat demikian.
Tanpa menyatakan bilangan muka baharu dan lama yang terlibat, Saarani berkata, mereka yang dicalonkan itu adalah berdasarkan kriteria ditetapkan pucuk pimpinan.
“Nama yang dipersembahkan membabitkan wakil rakyat sedia ada dan calon yang berpotensi serta disukai rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas majlis Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Daerah Kerian di sini hari ini.
Saarani berkata turut tersenarai untuk pertimbangan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, setelah UMNO Padang Rengas mencalonkannya. Perak mempunyai 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Okt untuk memberi laluan kepada PRU15, selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Saarani akan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pukul 2 petang esok (Rabu), bagi mendapatkan perkenan untuk membubarkan DUN Perak. – BERNAMA