Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika bercakap pada sidang media khas berkenaan persiapan menghadapi pilihanraya bagi Parti Gerakan Tanah Air (GTA) yang akan bertanding di PRU 15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan laporan media kononnya beliau mendakwa UMNO akan menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dia menyebut UMNO akan menang hanya kerana parti itu menggunakan sogokan.

“Dalam perkara ini mereka sebut bahawa saya berkata UMNO akan menang. Saya tidak kata UMNO akan menang.

“Saya kata UMNO akan menang dengan menggunakan wang iaitu sogokan, rasuah yang biasa diguna oleh UMNO. Ini adalah satu penyataan yang dibuat untuk memperingatkan rakyat supaya jangan terima sogokan.

“Kerana sogokan akan datang daripada orang yang tidak baik. Orang yang baik tidak perlu kepada sogokan,” kata Mahathir dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan GTA di sini hari ini.

Beberapa media sebelum ini menyiarkan laporan bahawa Mahathir berkata, UMNO dan BN akan menang pada PRU15 dan meramalkan parti itu akan berhadapan dengan krisis dalaman.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan GTA di sini hari ini, Mahathir kemudiannya berkata, beliau percaya UMNO akan kalah.

“Saya harap kita jangan percaya dengan dakwaan yang dibuat oleh (Datuk Seri Ahmad) Zahid dan beberapa pemimpin UMNO yang berkata bahawa UMNO akan menang.

“Sebenarnya dengan gabungan antara GTA ini dengan ramai lagi parti lain yang menolak UMNO kami percaya UMNO akan kalah,” kata Mahathir.

Beliau menegaskan, GTA tidak perlu membuat sogokan kepada pengundi untuk memenangi PRU15.

Bekas Perdana Menteri itu dalam laporan yang disiarkan di Nikkie berkata, UMNO berpeluang untuk menang pada PRU-15 kerana mempunyai ‘banyak wang’.

Ini bukan kali pertama beliau meramalkan Umno akan menang pada PRU kerana pada Ogos lalu, Mahathir turut berkata UMNO akan ‘menang besar’, jika PRU-15 diadakan tahun ini.

Sementara itu, beliau ketika ditemu bual agensi AP berkata, kebanyakan pengundi Melayu sudah kembali menyokong Umno.

Beliau mendakwa, ini berikutan pengundi sudah ditawarkan wang dan insentif lain.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast