Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di Menara Dato' Onn bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak mengubah syarat berhubung kerjasama parti itu dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendirian UMNO berkenaan kerjasama itu tetap dengan tiga perkara sebagaimana yang disebut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

“Kita tak ubah syarat kita iaitu tiga perkara yang presiden sebut bila Pas tak terima tu dengan sendirinya gugur, itu saja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, di Menara Dato Onn, di sini malam tadi.

Ditanya sama ada akan berlaku pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU’15) Mohamed Khaled berkata, jika sudah tidak ada hubungan ia bermakna akan ada pertandingan sesama mereka.

Sebeum ini, Ahmad Zahid memberi kata dua kepada Pas sekiranya mahu meneruskan hasrat bekerjasama politik dengan parti itu untuk menghadapi PRU-15.

UMNO menetapkan tiga syarat utama kepada Pas iaitu perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) serta memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pas juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.

Sementara itu, Mohamed Khaled memaklumkan, UMNO akan memulakan proses mendapatkan senarai calon yang akan diketengahkan pada PRU-15.

Katanya, jika mengikut perlembagaan parti, Pengerusi Badan Perhubungan negeri akan mengemukakan kepada pucuk pimpinan.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin apabila menyatakan parti pimpinannya mendapat maklum balas positif daripada UMNO untuk menjadi komponen dalam BN, Mohamed Khaled  tidak mengetahui mengenai perkara yang disebut Ahli Parlimen Ampang itu. – MalaysiaGazette