KUALA LUMPUR – Nilai jualan perdagangan borong dan runcit bulan Ogos 2022 mencatatkan rekod baharu dengan kenaikan 33.7 peratus tahun ke tahun kepada RM133.7 bilion.
Peningkatan ini disumbangkan oleh semua subsektor perdagangan runcit yang meningkat RM14.6 bilion atau 34.5 peratus kepada RM57 bilion.
Kenderaan bermotor meningkat RM10.8 bilion atau 185.3 peratus kepada RM16.6 bilion yang disusuli oleh perdagangan borong yang melonjak RM8.3 bilion atau 16 peratus kepada RM60.1 bilion.
Bagi segi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan meningkat sebanyak 2.6 peratus, disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang naik 17.8 peratus,” kata Jabatan Perangkaan.
Bagi prestasi mengikut subsektor itu, pertumbuhan subsektor runcit mencatat 34.5 peratus pada Ogos 2022 yang disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat RM5.7 bilion atau 37.1 peratus kepada RM21.1 bilion.
Kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatat pertumbuhan positif seperti jualan runcit di kedai pengkhususan pada RM3.7 bilion; jualan runcit bahan api kenderaan (RM1.8 bilion) dan jualan runcit barangan isi rumah (RM1.5 bilion).
Subsektor kenderaan bermotor naik 185.3 peratus, dipacu jualan kenderaan bermotor yang tumbuh 206.3 peratus atau RM6.4 bilion kepada RM9.5 bilion.
Ini diikuti oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal masing-masing sebanyak RM2.2 bilion, RM1.2 bilion dan RM1.0 bilion,” katanya.
Kenaikan subsektor perdagangan borong sebanyak 16 peratus pada paras rekod RM60.1 bilion disebabkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong lain yang meningkat 16.8 peratus atau RM3.4 bilion kepada RM23.6 bilion.
Antara kumpulan yang menyumbang kepada peningkatan itu adalah jualan borong isi rumah (RM2.7 bilion), jualan borong makanan, minuman dan tembakau RM600 juta dan jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (RM600 juta).
Bagi indeks volum, perdagangan borong & runcit merekodkan 27.0 peratus tahun ke tahun untuk mencapai 145.6 mata disumbangkan oleh kenaikan dalam kenderaan nermotor 169.6 peratus, perdagangan runcit 30.1 peratus dan perdagangan borong 7.4 peratus.
Selain itu, indeks volum pelarasan musim juga meningkat 3.1 peratus bulan ke bulan pada Ogos 2022. – MalaysiaGazette