Datuk Mohammad Fakharuddin Ariff.

KUANTAN – Sebanyak 392 menara telekomunikasi telah dibina dalam tempoh lima tahun di Pahang dan ia bagi meningkatkan perkhidmatan komunikasi di negeri itu.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sebanyak 150 menara telah siap beroperasi dan 242 masih dalam pembinaan.

“Pembinaan 392 di bawah projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2020 dan dijangka siap berperingkat sehingga pertengahan tahun 2023.

“Manakala bagi projek penaiktarafan, sebanyak 902 stesen pemancar sedia ada di seluruh Pahang telah pun selesai sepenuhnya dinaik taraf ke rangkaian 4G,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Wisma Sri Pahang hari ini.

Sementara itu bagi projek menaik taraf rangkaian jalur lebar tetap, sebanyak 88,144 premis telah selesai dilakukan manakala baki  30,116 premis dalam peringkat perlaksanaan dan akan selesai dinaik taraf penghujung tahun ini.

“Projek internet jalur lebar teknologi satelit pula membabitkan kesemua 69 Kampung Orang Asli (KOA) telah selesai sepenuhnya dipasang teknologi satelit ini pada bulan April lalu.

“Bagi perkhidmatan internet yang lebih baik dalam bangunan sama ada premis kediaman mahupun komersial, usaha masih diteruskan bagi menambah bilangan premis kepada sasaran 220,236 premis yang dirangkaikan dengan gentian optik pada penghujung tahun 2022,” ujarnya.

Kadar liputan jalur lebar mudah alih (4G) untuk negeri Pahang telah meningkat dari masa ke semasa daripada 65.6 peratus pada Suku Kedua 2018 kepada 93.59 peratus pada Suku Kedua 2022 iaitu peningkatan sebanyak 28 peratus.

Pada Jumaat lalu, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM26.4 juta bagi inisiatif berkaitan ICT, teknologi dan pendigitalan semasa pembentangan Belanjawan Pahang 2023 oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – MalaysiaGazette