Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda

KUANTAN – Kerajaan Pahang akan melantik pemaju penyelamat bagi meneruskan baki pembinaan Projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Cherating yang terbengkalai.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, kerajaan negeri telah menamatkan kontrak pemaju berkenaan berikutan kegagalan menyiapkan 108 unit rumah seperti dijadualkan.

“Pembeli boleh meneruskan urusan jual beli rumah berkenaan dengan pihak pemaju baru, dalam masa yang sama, pembeli berhak menuntut bayaran ganti rugi melalui Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR).

“Tuntutan yang boleh dibuat ialah deposit yang dibayar kepada pemaju, ganti rugi kelewatan penyerahan milikan kosong dan lain-lain tuntutan yang berbangkit daripada perjanjian jual beli.

“Kerajaan negeri tidak terikat untuk apa-apa pampasan kepada pembeli sebaliknya ia merupakan tanggungjawab pemaju. Kerajaan Pahang adalah pihak yang memiliki tanah tersebut sahaja,” katanya.

Abd Rahim berkata demikian ketika menjawab pernyataan Sim Chon Siang (PKR- Teruntum) yang ingin mengetahui status terkini PR1MA Cherating pada dalam sesi penggulungan perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Sehingga kini, kerajaan Pahang telah meluluskan sebanyak 138 projek PR1MA Pahang dan masih aktif yang melibatkan 44,803 unit rumah.

Daripada jumlah itu, sebanyak 6,564 unit rumah telah siap dibina dan diserahkan kunci kepada pembeli manakala 7,000 unit dijangka siap pada akhir tahun ini.– MalaysiaGazette.