KUALA LUMPUR – Seramai 1,673 berminat untuk menjadi calon PKR bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, jumlah tersebut dicatatkan sehingga pukul 10 pagi tadi sejak borang pencalonan dibuka secara dalam talian sejak beberapa hari lalu.
“Sekretariat Calon kini sedang menapis dan memberi pemarkahan awal supaya semua calon-calon berpotensi mula dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Calon pada malam ini.
“Saya berpendapat tumpuan rakyat untuk membezakan parti-parti yang bertanding dalam PRU15 adalah kepada kewibawaan, kepelbagaian, kemahiran profesional dan kesesuaian caloncalon yang diketengahkan.
“Ini menjadi salah satu niche yang akan diberi tumpuan oleh PKR untuk membezakan kami dari parti-parti dari BN dan PN,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Rafizi, PKR akan memuktamadkan senarai calon parti itu sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat pada 20 Oktober ini.
Tambah beliau, senarai calon-calon PKR akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 19 Oktober.
Rafizi berkata, sentimen sejak dua tahun lalu menunjukkan keputusan pengundi bukan lagi dipengaruhi oleh parti yang bertanding semata-mata.
Sebaliknya, kaji selidik yang dilakukan parti itu menunjukkan secara konsisten bahawa faktor kewibawaan calon menyumbang 50 peratus keputusan pengundi.
“Oleh itu mengambil kira sentimen pengundi yang menuntut mutu calon-calon yang lebih baik dari parti-parti yang bertanding PKR akan memperkenalkan proses saringan dan penilaian calon yang lebih telus, seragam, objektif dan demokratik.
“Tatacara saringan dan penilaian calon yang digunakan dihuraikan secara terperinci di dalam Pekeliling JPRP Bil 2/2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rafizi, prinsip yang diguna pakai oleh PKR untuk memastikan proses saringan dan pemilihan calon dapat melonjakkan kewibawaan calon-calon yang diketengahkan.
Menurut Rafizi, senarai pendek calon ditentukan bersama oleh satu Jawatankuasa Calon yang dipengerusikan oleh beliau dan naib-naib Presiden.
Kemudian senarai pendek calon dikemukakan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dimuktamadkan.
Penilaian calon PKR melibatkan beberapa kriteria iaitu rekod berkhidmat dalam parti termasuk senarai kekananan iaitu 30 peratus, mempunyai kekuatan jentera kempen (20) dan keterampilan dan kesesuaian (20).
Turut diambil kira adalah sumbangan kepada masyarakat di luar politik dalam pelbagai bentuk termasuk kerja-kerja sukarelawan, pakar dalam industri (20) dan Capaian media sosial untuk mengukur kemahiran berkomunikasi dan sebaran maklumat dengan orang ramai (10).-MalaysiaGazette