Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini memohon mahkamah mempercepatkan pendengaran semakan kehakiman yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak bagi mencabar Jabatan Penjara Malaysia (JPM) yang tidak membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Peguam itu berkata, pendengaran ini perlu dilakukan dengan cepat memandangkan ia adalah isu utama mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, bekas Presiden UMNO itu mempunyai segala hak mengikut peruntukan undang-undang untuk memberi hak kepada banduan untuk ditemani dan hadir ke Parlimen.

“Betul Parlimen telah bubar, ada juga soalan berbangkit yang mana adakah Najib boleh hadir ke tempat pencalonan dan dicalonkan (pada PRU-15).

”Ini hanya boleh dipertikai mengikut peruntukkan Perkara 48, saya amat harap kes permohonan segera diperdengarkan jika boleh pada 14 Oktober ini (Jumaat),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, hari ini.

Bagaimanapun mahkamah telah menetapkan 19 Oktober untuk pendengaran semakan kes ini.

Najib memfailkan notis itu melalui Tetuan Shafee & Co dengan menamakan Kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Jabatan Penjara masing-masing sebagai responden pertama hingga ketiga.

Permohonan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi minggu lepas.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 SEPTEMBER 2022.

Dalam notis usul yang diperoleh, Najib memfailkan permohonan untuk membatalkan keputusan responden ketiga yang tidak membenarkan Najib selaku pemohon untuk bertugas dan hadir ke Parlimen pada tarikh yang dijadualkan.

Minggu lepas Isnin, Muhammad Shafee dalam sidang medianya berkata, JPM menolak permohonan Najib untuk menghadiri persidangan Parlimen.

Menurut Muhammad Shafee, pihaknya telah mengemukakan permohonan bagi membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu ke Parlimen pada 19 September lalu namun JPM telah menolak permohonan tersebut.

Tambah Muhammad Shafee lagi, Najib masih lagi seorang ahli Parlimen dan sepatutnya dia diberikan hak untuk hadir pada Sidang Parlimen yang mana hak untuk berjumpa dengan wakil dan rakyat di kawasannya.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta di Penjara Kajang selepas disabit bersalah dalam kes dana SRC berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast