BATU MAUNG – Kira-kira 60 penduduk Kampung Permatang Tepi Bendang di sini meluahkan rasa bimbang susulan penempatan mereka berdepan risiko banjir setiap kali hujan lebat.
Rata-rata mereka yang sudah mendiami kawasan perumahan itu lebih 30 tahun mendakwa secara purata, setiap kali hujan rumah mereka akan dimasuki air dengan kejadian terbaharu kelmarin.
Penduduk turut mendakwa masalah banjir ini timbul sejak tiga tahun lalu selepas kawasan paya semula jadi berhampiran penempatan mereka ditambak.
Menurut Amri Majid, 34, keadaan itu menyebabkan penduduk tidak senang duduk kerana perlu sentiasa berwaspada selain perlu menanggung kerugian besar akibat kerosakan harta benda yang disebabkan musibah tersebut.
Jelasnya, banjir besar berlaku di kawasan itu pada tahun 2021 yang mana paras air melebihi pinggang namun tiada sebarang tindakan bagi menangani isu tersebut diambil sehingga hari ini.
“Tiga tahun lalu, ada pihak datang ke sini dan mendakwa mereka dari Pejabat Adun serta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan melakukan kerja penambakan paya berhampiran penempatan kami.
“Pada mulanya ia ditentang kerana bimbang saliran air yang selama ini mengalir ke paya akan merisikokan penduduk namun, mereka janji nak bina sistem pemparitan untuk memastikan kediaman kami tidak mengalami sebarang masalah.
“Selepas mereka tambak paya itu dengan ketinggian lebih dua meter maka bermula masalah bagi penduduk hingga berlaku banjir besar,” katanya ketika ditemui hari ini.
Tambah Amri, penduduk telah menyampaikan masalah yang dialami sejak tiga tahun itu kepada pihak berkaitan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Halim Hussain namun tiada tindakan sehingga hari ini.
Seorang lagi penduduk, Ghazali Ismail, 52, mendakwa ada pihak dilihat sengaja menimbulkan isu di kawasan penempatan mereka agar penduduk keluar dari kampung itu.
Jelasnya, dipercayai 10 buah rumah saja yang berbaki di kawasan itu ketika ini berbanding 100 buah rumah dahulu.
“Ada baki 10 buah rumah ini semua atas tanah milik keluarga saya, yang lain semua sudah jual tanah mereka dan keluar dari sini. Jadi, di sini timbul isu macam sengaja kampung ini dibiarkan dilanda banjir agar penduduk keluar cari penempatan baru.
“Boleh dikatakan hari-hari ada saja pemaju atau ejen datang untuk meminta saya menjual tanah ini,” katanya.
Mengulas lanjut Ghazali mengakui dirinya sudah penat dan tidak sanggup lagi berdepan banjir yang seperti tiada kesudahan.
“Kalau bercerita soal kerugian, memang banyak kerana setiap kali banjir, rumah saya akan kena dahulu dan lantai juga sudah rosak manakala dinding kayu juga sudah mereput.
“Kelengkapan perabot rumah pula, memang sering bertukar ganti dan satu lagi kesan banjir yang saya tanggung adalah perasaan takut keluar meninggalkan isteri serta anak di rumah, kerana saya bimbang jika tiba-tiba berlaku banjir sewaktu ketiadaan saya,” katanya.
Turut meluahkan pandangan sama, Mohd Faizal Abdul Rahim, 37, berkata,Adun Batu Maung diminta cakna dengan masalah penduduk susulan bukan bantuan yang dimahukan ketika dilanda musibah sebaliknya jalan penyelesaian untuk jangka masa panjang.
“Kejadian banjir serta isu penduduk kampung di sini sudah bertahun jadi kami tak faham mengapa masih tiada tindakan diambil untuk menanganinya.
“Kami harap wakil rakyat tak lepas tangan dalam isu Kampung Permatang Tepi Bendang ini,” katanya.
Sementara itu, Abdul Halim berkata, pihaknya akan menjalankan kerja-kerja mengorek paya tersebut bagi membentuk saliran.
“Kerja bagi projek berkenaan sudah diputuskan dalam satu mesyuarat pada minggu lalu.
“Ia akan diselesai secepat mungkin dan PDC, Pejabat Daerah dan Tanah serta Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) akan terlibat dalam projek tersebut.
“Kita harap penduduk dapat beri kerjasama selain tidak membuang sampah merata-rata terutama di kawasan berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette
Video Berkaitan