KUALA LUMPUR – Tindak-tanduk Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan antara faktor yang menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa membubarkan Parlimen kelmarin.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Muhyiddin pernah mengancam untuk menekan butang menarik sokongan terhadap kepimpinan Ismail Sabri.
Menurut beliau, Muhyiddin berbuat demikian untuk kali kedua, apabila secara terbuka menyatakan Perdana Menteri gagal menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.
“Sedangkan beliau sendiri merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), malah pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri adalah menteri hal ehwal ekonomi.
“Malah, Muhyiddin menyarankan agar Parlimen dibubarkan atas kegagalan tersebut. Kata beliau lagi, perlu ada kerajaan baharu yang lebih cekap,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Semalam, Muhyiddin menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Ismail Sabri sebagai tidak bertanggungjawab kerana meletakkan kesalahan dan menuding jari kepada beliau dan anggota-anggota Kabinet atas ketidakharmonian politik dalam kerajaan.
Ahmad Zahid menambah, partinya juga menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada mereka walaupun pemimpin-pemimpin Bersatu telah dilantik menjadi menteri kanan, menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau memberitahu, tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri tersebut tidak sensitif dengan situasi pemulihan ekonomi negara dan dasar jimat cermat negara.
“Sebaliknya, Bersatu asyik memikirkan mengenai jawatan, pangkat dan kedudukan sahaja,” jelasnya.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, tindakan 12 menteri dari PN yang mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah serta-merta mencetuskan isu ketidakpercayaan terhadap kerajaan pimpinan Ismail Sabri.
Menurut beliau, Ismail Sabri boleh sahaja memecat mereka namun langkah itu akan membawa krisis yang lebih besar, parah dan memalukan pentadbiran negara selain melibatkan undi tidak percaya.
Ahmad Zahid turut menganggap tindakan 12 menteri Kabinet terbabit sebagai niat jahat untuk mengaibkan Ismail Sabri dan BN.
“Maka, jalan terbaik untuk berdepan dengan kerenah anggota Kabinet tidak berdisiplin ini adalah Perdana Menteri pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon perkenan Seri Paduka untuk membubarkan Parlimen.
“Ini sesuai juga bagi mengembalikan mandat kepada rakyat, yang sebelum ini ramai yang melompat parti, menjawab cabaran Muhyddin untuk bubar parlimen dan memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara tidak terganggu pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette