Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan  Ahmad Shah  berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia, Stesen Janakuasa Battersea di Central London, United Kingdom (UK) semalam.- Gambar FB Istana Negara

LONDON –  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan  Ahmad Shah  berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia, Stesen Janakuasa Battersea di Central London, United Kingdom (UK) semalam.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda turut diiringi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua di Stesen Janakuasa Battersea disambut oleh Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Arifin Zakaria, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk’ Zakri Jaafar, Menteri Pelaburan UK, Dominic Johnson dan Menteri Dasar Perdagangan UK, Greg Hands.

Seri Paduka Baginda berkenan menyempurnakan pembukaan Stesen Janakuasa Battersea dengan menghidupkan semula kuasa secara simbolik di Dewan Turbin A yang telah tidak aktif selama lebih 40 tahun dan kini akan menempatkan sebahagian daripada pusat beli-belah Stesen Janakuasa tersebut, kata satu kenyataan dari Facebook Istana Negara hari ini.

Seri Paduka Baginda kemudiannya berkenan melancarkan plak memperingati lawatan dan peringatan kekal akan hubungan kukuh antara Malaysia dan UK.

Mercu tanda itu akan dibuka kepada orang ramai pada hari Jumaat ini setelah hampir empat dekad penutupannya.

Ia pernah menjadi stesen janakuasa arang batu satu ketika dulu, ia kini bersedia untuk menjadi salah satu destinasi beli-belah dan riadah yang paling menarik di London.

Berkeluasan 16.99 hektar, Stesen Janakuasa Battersea adalah projek hartanah membabitkan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Berhad sejak tahun 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak sembilan bilion pound (RM51.53 bilion). – MalaysiaGazette