MACC Malaysian Anti-Corruption Commission 1MDB funds recovery assets
Seorang wanita akan direman sprm esok kerana disyaki menerima habuan bulanan.

KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan sebuah syarikat pembinaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan lanjut kes meminta dan menerima habuan bulanan.

Suspek ditahan kerana disyaki menerima habuan sebagai balasan membantu mempercepatkan tuntutan bayaran kerja perkhidmatan kawalan keselamatan di tapak projek di Klang dekat sini.

Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan umur 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan kira-kira pukul 3 petang tadi.

Sumber berkata, suspek dipercayai meminta dan menerima wang suapan antara RM200 hingga RM500 setiap bulan daripada seorang individu bagi tempoh antara 2019 hingga 2021.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Kata beliau, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman pada pukul 9 pagi esok (Jumaat),” tegasnya.-MalaysiaGazette