drug case police lockup escapee Perak state assemblyman drug PDRM murder case Jalan Ampang logo
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus bank akan didakwa di Mahkamah Klang esok ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan pelaburan menggunakan wang jutaan ringgit para pelanggan bank.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan , Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun berkhidmat sebagai pengurus bank di Klang.

Katanya, setakat ini, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah menerima sejumlah 47 laporan polis daripada mangsa penipuan melibatkan kerugian wang melebihi RM14 juta dan kesemua laporan melibatkan suspek di dalam kes yang sama yang mana mangsa-mangsa adalah pelanggan bank suspek terbabit.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi laporan polis berkenaan yang melibatkan pasukan siasatan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kontinjen Selangor.

“Bertindak atas waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majisterit Klang, pukul 1.30 tengahari ini, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Klang Selatan telah menangkap suspek terlibat iaitu seorang warga tempatan yang berumur 59 tahun.

“Dia akan dihadapkan pada pagi esok (Jumaat) di Mahkamah Klang untuk menghadapi pertuduhannya,” katanya dalam kenyataan  malam ini.

Tambah Hoo Foong, pada 14 Januari tahun ini satu laporan polis telah diterima daripada seorang wanita warga emas tempatan yang juga pengurus kedai emas berumur 60 tahun melaporkan terdapat pengeluaran wang dari akaun simpanan bank milik pengadu tanpa pengetahuan berjumlah RM850,000.

Menurutnya, pengadu dalam laporannya mendakwa  dia mengesyaki wang simpanan tersebut telah dikeluarkan oleh seorang pengurus bank tempatan di Klang  tanpa pengetahuan dan kebenarannya.

Jelasnya lagi, bertindak atas laporan polis itu Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu dan dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan.

“Namun hasil siasatan dijalankan mendapati pada 2 Disember 2020 pengadu berkenaan telah pergi ke sebuah bank tempatan beralamat di Klang Selangor dan berurusan dengan suspek seorang pengurus bank bagi memasuki suatu skim pelaburan yang ditawarkan berjumlah RM130,000.

“Pengadu telah memberikan kepercayaan kepada suspek bagi menguruskan akaun bank milik pengadu dengan menyerahkan buku akaun bank miliknya bagi tujuan pelaburan yang ditawarkan.

“Semenjak dari tarikh tersebut sehingga laporan polis dibuat, pengadu tidak mengetahui terdapat pengeluaran wang dari akaun pengadu sehinggalah pada 14 Januari ini pengadu telah pergi ke bank berkenaan bagi tujuan membuat semakan sebelum terkejut setelah mendapati sejumlah wang telah dikeluarkan dari akaun miliknya,” katanya.

Tegasnya, kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada  Timbalan Pendakwa Raya Selangor dengan mendapat arahan menuduh suspek dibawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.

“Suspek akan menghadapi sebanyak empat pertuduhan membabbitkan penipuan wang mangsa berjumlah RM164,000 berkaitan kes ini yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” tegasnya. – MalaysiaGazette