ismail sabri yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk menyahklasifikasikan dan mendedahkan kepada umum Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice in The Wilderness tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkara tersebut dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, laporan tersebut telah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 September lalu.

Terdahulu, Ismail Sabri telah mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan berkaitan bagi menyiasat kemungkinan salah laku oleh Tommy.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan yang telah dibuat, Pasukan Petugas Khas telah mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman, pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan, tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.

Pasukan Petugas Khas seterusnya telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil.

Ismail Sabri berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 124I Kanun Keseksaan – Penyebaran Laporan Palsu & Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berharap agar laporan Pasukan Petugas Khas itu didedahkan kepada umum. – MalaysiaGazette