KUALA LUMPUR – Seramai 4,367 pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) diatur gerak bagi berdepan sebarang kemungkinan ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) pada November ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Yahya Sulaiman berkata, anggotanya akan diletakkan dalam keadaan siap sedia di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku Komander Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Ia bagi melaksanakan tindak balas awal sekiranya berlaku sebarang situasi kecemasan dan bencana di kawasan tanggungjawab masing-masing.
“Penugasan ini adalah berdasarkan punca kuasa di bawah Arahan MKN 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara yang jelas menerangkan antara tugas dan peranan Rela seperti mengadakan kawalan orang ramai dan lalulintas di tempat kejadian.
“Selain itu, memindahkan mangsa-mangsa bencana, membantu penyediaan di pusat pemindahan dan membantu pembersihan tempat-tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Yahya, sebanyak 41 lori tiga tan dan 36 kenderaan pacuan empat roda juga akan diatur gerak ke lokasi bagi melancarkan tugas-tugas operasi bencana.
Dalam pada itu, anggotanya juga akan menjalankan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana di lokasi-lokasi yang berpotensi dan dijangka berdepan bencana.
“Pihak jabatan juga ingin memaklumkan kepada anggota Rela yang telah berdaftar dalam sistem MyRELA, anda dimohon melapor diri ke Pejabat Rela Daerah berhampiran bagi proses pengemaskinian dan pemprofailan anggota.
“Masyarakat turut dinasihati agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan situasi bencana pada kali ini dapat ditangani bersama dengan lebih berkesan,” ujarnya. – MalaysiaGazette