Wan Rosdy Wan Ismail mendakap erat Tan Sri Datuk Seri Adnan Yaakob di Wisma Sri Pahang hari ini

KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengakhiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dalam ucapan penggulungan dengan linangan air mata.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebak ketika berucap merakamkan penghargaan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang Ke-14, Tan Sri Adnan Yaakob.

Beliau menganggap figura itu yang juga dikenali Tok Nan itu sebagai guru dan mentornya dalam dunia politik serta  pentadbiran kerajaan negeri.

“Tan Sri (Adnan)  tokoh yang telah memimpin saya masuk ke gelanggang politik. Ketika itu, saya masih bertugas di Bernas.

“Sesungguhnya, begitu besar sumbangan yang telah dicurahkan oleh beliau sepanjang 19 tahun menjadi Menteri Besar Pahang, dan 36 tahun sebagai wakil rakyat DUN Pelangai,” katanya.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang

Jelas Wan Rosdy, ADUN Pelangai berusia 72 tahun itu telah memperkasakan Yayasan Pahang sebagai sebuah agensi kerajaan negeri yang komited memajukan pendidikan anak negeri itu.

“Sejak tahun 1982 sehingga kini, Yayasan Pahang telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion ringgit untuk tujuan pendidikan melibatkan lebih 1.6 juta penerima.

“Selain itu, penaiktarafan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) kepada Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) serta tertubuhnya Universiti Malaysia Pahang (UMP), adalah antara hasil inisiatif dan kesungguhan beliau dalam meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, penubuhan Maahad Tahfiz Negeri Pahang sehingga terbinanya sebuah kampus tetap di Tanjung Lumpur, Kuantan pada tahun 2005 juga adalah cetusan idea Adnan.

Malah kata Wan Rosdy, pembinaan lebuh raya Central Spine Road (CSR) juga berjaya dilaksanakan ketika  Adnan menjadi Menteri Besar.

Adnan juga telah menunjukkan ketokohannya dalam politik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional Negeri (BN) Pahang.

“Berkat ketokohan tersebut, UMNO dan BN telah berjaya mengekalkan mandat pemerintahan di negeri ini pada PRU-14 yang lalu, meskipun tsunami politik ketika itu telah menyebabkan banyak negeri yang dikuasai BN selama ini tumbang di mana kita juga tewas peringkat kerajaan Persekutuan.

“Apa yang ingin saya tegaskan di sini bahawa sepanjang 19 tahun Tan Sri Adnan mengetuai pentadbiran kerajaan negeri, kami rakyat Pahang amat terhutang budi atas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan,” katanya.

Mengakhir ucapan itu, Wan Rosdy memohon seluruh warga dewan untuk berdiri dan memberikan tepukan gemuruh sebagai tanda penghargaan kepada Adnan.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan Adnan mengumumkan persaraannya selepas lebih 36 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat semasa Sidang DUN berlangsung.

Beliau pernah mentadbir Pahang apabila mendapat mandat sebagai Menteri Besar Pahang selama 19 tahun dan mula dilantik sebagai Menteri Besar pada 25 Mei 1999 menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tok Nan umum bersara dari politik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast