Mohd Khairuddin Aman Razali masjid terengganu kematian jamaah Islam Khairuddin Aman Razali MN Nurul Izzah adu domba penasihat kerajaan
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Kestabilan politik hasil permuafakatan UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) bakal memacu negara untuk menghadapi kemelut ekonomi yang bakal melanda dunia tahun depan.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, MN yang merupakan impian ahli-ahli dua parti Islam terbesar di negara ini adalah piagam kesatuan ummah berasaskan al-Quran dan al-Sunnah yang dimeterai bersama dengan tulus ikhlas.

Beliau turut menyeru kepada semua pihak agar mendoakan MN menjadi platform terbaik kesatuan ummah yang dianggap sebagai langkah besar bagi memperkasakan politik Melayu-Islam di negara ini.

“Ia perjuangan politik kita bersama. Jangan jemu untuk menyeru umat kepada muafakat,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Pas dijangka membuat keputusan berhubung kerjasama politik dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu, hari ini.

Sebelum ini, rundingan antara kedua-dua parti bagi mengelakkan pertembungan di kerusi-kerusi penting berdepan jalan buntu.

UMNO menyatakan sukar untuk bekerjasama dengan Pas selagi parti itu berada dalam Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada masa yang sama, Pas cuba memujuk UMNO untuk menerima Bersatu dalam kerangka MN.

UMNO agak keberatan untuk bekerjasama dengan Bersatu yang dianggap sebagai salah satu musuh ketatnya sejak PRU14. – MalaysiaGazette