Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran klip video bersifat sumbang di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 13 OKTOBER 2022.

SEPANG – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman tidak serik untuk membuat muzik video raya baharu yang dijangka ditayangkan tahun hadapan.

Beliau yang ditemui selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan memuat naik dan menghantar video bersifat sumbang di laman media sosial berkata, penghasilan video berkenaan sekadar hobi yang ingin mengekspresikan minatnya dalam bidang muzik.

“Doakan ya, macam saya kata saya buat ini sebagai hobi sahaja dan saya tidak sangka ia jadi sampai ke tahap ini dan biarlah benda ini berlaku dengan bagusnya.

“Saya juga nak bagi tahu doakan yang saya akan keluarkan lagu baru pada raya nanti, insya-Allah tahun hadapan.

“Saya maklumkan sekali lagi apa saya buat ini hanya hiburan semata-mata. Saya pun tidak boleh bercakap lebih sebab kes masih dalam perbicaraan,” katanya selepas ditanya sama ada video terbaharu itu akan lebih tertib berbanding video sebelum ini.

Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman bersama dua peguamnya iaitu Hasshahari Johari dan Awang Armadajaya selepas selesai membayar ikat jamin sebanyak RM20,000.

Terdahulu, beliau yang terkenal dengan slogan ‘Terlajak Laris’ mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan membuat dan memulakan video bersifat subang di laman media sosial pada April lalu.

Aliff Syukri didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000.

“Saya minta semua orang doakan yang terbaik dan saya telah melaksanakan tugas sebagai rakyat Malaysia yang mana saya yakin badan kehakiman di negara ini akan membuat keputusan seadanya.

“Saya juga serahkan kepada kedua-dua peguam saya yang telah membantu dengan sebaiknya. Saya juga berharap rakyat Malaysia tidak membuat andaian yang bukan-bukan sebab kesalahan ini hanya saman dan biar mereka yang buat kerja,” ujarnya.

Sebelum ini, video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri yang mempunyai unsur komedi dianggap tidak kelakar oleh masyarakat sebaliknya menjadi bahan cemuh gara-gara aksi lembut sekumpulan penari lelaki.

Video berdurasi 5 minit 23 saat dianggap netizen telah dicemari gaya keterlaluan penari lelaki lembut berkenaan.

Malah, ada yang menyifatkan paparan aksi dalam video muzik itu sebagai satu cara halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast