KUANTAN – Seorang penunggang motosikal meninggal dunia setelah merempuh sebuah lori yang berhenti di laluan kecemasan di KM 15 Jalan Bentong ke Raub.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam.
“Hasil siasatan polis mendapati sebuah lori dari arah Raub itu telah mengalami kerosakan enjin lalu memberhentikan kenderaan di laluan kecemasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Namun, katanya dalam tempoh 30 minit ketika lori tiga tan itu sedang dibaiki, penunggang motosikal tersebut telah melanggar bahagian belakang kanan kenderaan itu.
Tambah Zaiham, akibat kemalangan tersebut, Shamsuddin Zulkefli, 54, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” jelasnya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette