PUTRAJAYA – Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan penubuhan sebuah sistem bersepadu untuk memudah cara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat di negara ini.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana pada hari ini, hampir semua agensi dan pihak kementerian masing-masing menyediakan bantuan namun pihaknya dapati masih ada individu atau kelompok yang tertinggal atau tercicir.
Pada masa sama jelas beliau, ada pula yang menerima bantuan daripada dua tiga agensi berlainan.
“Dengan mengintegrasikan data penerima yang layak dari semua agensi dalam satu sistem yang sama, proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaras dan diagihkan secara telus dan cekap dengan seberapa cepat yang mungkin kepada golongan sasar.
“Mekanisme ini akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang dapat mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat yang layak memerlukan bantuan.
“Ini boleh mengurangkan karenah birokrasi dalam aspek penyampaian bantuan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kewangan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial anjuran MPN dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), di sini, hari ini.
Muhyiddin menambah, sistem bersepadu itu juga boleh berfungsi menyusun semula segala bentuk manfaat yang layak diterima oleh rakyat Malaysia sejak dari lahir sehingga akhir hayat menerusi data rentas agensi.
“Sebagai contoh, Encik Abu mempunyai 3 orang anak serta isteri yang tidak bekerja. Jika beliau diberhentikan kerja, maka sistem ini secara automatik akan dapat mengesan status Encik Abu melalui notifikasi yang dicerap daripada data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Status Encik Abu sebagai seorang yang hilang pekerjaan akan melayakkan beliau menerima bantuan jangka pendek selama beliau tidak bekerja, maksimum tiga bulan untuk menampung perbelanjaan keluarga sehingga mendapat pekerjaan baharu,” katanya.
Sementara itu, seminar sehari menyaksikan pembentangan selari oleh dua belas penyelidik yang menjalankan penyelidikan di bawah Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP).
Mereka adalah sebahagian daripada 30 penyelidik daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang berjaya menerima geran MPDP untuk menjalankan kajian dalam pelbagai bidang berkaitan ekonomi dan sosial khususnya bagi membantu langkah-langkah pemulihan negara. – MalaysiaGazette