PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) tidak akan meletakkan janji-janji yang tidak boleh ditunaikan dalam manifesto parti itu sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada beberapa perkara teras yang diletakkan dalam manifesto PH kali ini.
“Nanti Jawatankuasa Manifesto PKR akan umum. Semalam kita bincang tidak mahu panjang-panjang. Kita tidak mahu janji melangit. Kita janji seperti yang disebut dalam al-Quran ‘kita akan cuba sedaya upaya, sebaik mungkin.
“Tetapi ada teras iaitu berkaitan kos sara hidup, mutu pendidikan, kemudahan kesihatan, peluang pekerjaan dan dari segi pentadbiran hentikan rasuah, ini yang tidak boleh dihentikan kalau jadi budaya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.
Menurut Anwar, PH akan melancarkan manifestonya pada 20 Oktober ini dalam konvensyen yang akan berlangsung di Ipoh, Perak.
Sementara itu, Anwar berkata, PH yakin dapat majoriti mudah dalam PRU-15 nanti yang akan membolehkan parti itu menjadi kerajaan tanpa perlu melibatkan parti lain.
“Bila saya kata optimis, saya nyatakan bahawa kita yakin untuk berusaha mendapatkan majoriti mudah. Kita bercakap mengenai usaha menyelamatkan negara ini daripada korupsi. Kita sudah tentu bercakap mengenai ‘Tanah Melayu’ tetapi juga negeri berbilang budaya.
“Kita mahu pastikan keyakinan semua kaum dan kawasan di negara ini,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian menjawab soalan sama ada akan membentuk kerajaan campuran dengan UMNO sekiranya tidak ada mana-mana parti mendapat majoriti pada PRU-15.
Anwar turut ditanya sama ada PH bersedia untuk membuka pintu kerjasama dengan parti lain seperi Pas dan Bersatu.
“Untuk bersama-sama itu memang kenyataan yang lunak. Kita harus bersatu. Bersatu untuk apa? Nak rompak? Ada yang bersatu dengan persatuan 40 penyamun, dia bersatu juga.
“Jadi bersatu itu mesti bersandarkan beberapa prinsip yang jelas. Umpamanya tatakelola yang baik. Keduanya menolak rasuah. Ketiganya tidak bersetuju dengan kaedah dan dasar perkauman atau agama yang fanatik yang menidakkan kehadiran yang lain. Kalau setuju silakan. Ini bukan milik mana-mana parti,” tegas Anwar.
Anwar berkata, PH komited dengan agenda reformasi menentang rasuah dan salah guna kuasa.
Mereka yang bersetuju dengan prinsip itu dialu-alukan untuk bersama-sama dengan PKR. – MalaysiaGazette