Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.-Foto HAZROL ZAINAL, 04 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beliau terpaksa ‘membayar harga yang tinggi’ selepas menolak permintaan Tun Dr. Mahathir Mohamad membubarkan UMNO.

Presiden UMNO itu berkata, dia dikenakan 97 pertuduhan apabila tidak mengikuti arahan Dr. Mahathir yang ketika itu menjadi Perdana Menteri buat kali kedua selepas Pakatan Harapan (PH)  menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Berderau darah saya mendengar kata-kata tersebut. Maka, apabila saya diminta agar melompat parti, meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu maka dengan tegas saya tolak permintaan Dr Mahathir untuk bubarkan UMNO.

“Saya tidak akan mengkhianati parti UMNO walaupun ketika itu UMNO sedang tewas, ramai wakil rakyat UMNO yang lompat parti, menjauhkan diri dan menganggap UMNO tidak akan mampu kembali menjadi kerajaan.

“Tidak lama selepas saya tidak bersetuju UMNO dibubarkan, saya terpaksa membayar harga yang tinggi dengan pendakwaan terpilih dikenakan 87 tuduhan rasuah,” kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid membalas kenyataan Dr. Mahathir yang menuduhnya mahu mempercepatkan PRU15 dan memenangi pilihan raya bagi mengelakkan pertuduhan di mahkamah.

Ahmad Zahid berkata, Mahathir tidak seharusnya berpura-pura tidak mengetahui pendakwaan terpilih benar-benar berlaku dalam negara ini.

Beliau berkata, selepas PH menang PRU14 antara langkah yang diambil Mahathir ialah cuba membubarkan UMNO dengan harapan semua ahli UMNO akan berpindah ke parti Bersatu.

“Saya tidak pernah berganjak seinci pun mempertahankan UMNO. Kalaulah saya akur untuk membubar UMNO dan melompat parti saya tidak akan dikenakan apa-apa. Bebas daripada pendakwaan terpilih.

“Hal ini kerana terdapat beberapa ahli Parlimen yang melompat parti dan meninggalkan UMNO/BN untuk menyertai PPBM kerana takut akan disiasat SPRM meskipun menerima wang 1MDB. Saya pernah ketengahkan perkara ini di mahkamah sebelum ini.

“Insya-Allah, saya tetap berdiri tegak mempertahankan parti UMNO tanpa gentar pendakwaaan terpilih ini,” kata Ahmad Zahid.

Pada 9 November 2019 media melaporkan, Mahathir menyuruh Ahmad Zahid membubarkan UMNO kerana parti itu sudah tiada

Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu ketika itu berkata, UMNO kini hanyalah badan berdaftar yang tidak lagi memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara.

“Secara benar, sudah tiada UMNO cuma satu badan, prinsip perjuangannya sudah tidak ada. Apa perlunya ahli UMNO kekal dalam parti yang sudah tinggal perjuangannya, yang utamakan duit, ‘cash is king’?

“Sebab itu, UMNO yang semacam itu perlu dibubar,” kata Mahathir dalam rakaman video temubual yang dimuat naik di media sosial. – MalaysiaGazette