Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Barisan Nasional (BN) Pahang akan menampilkan campuran muka lama dan baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia merupakan lumrah dan tradisi dalam dunia politik sejak dahulu lagi.

“Sejak kita mengadakan pilihan raya, pastinya ada muka baharu dan lama.

“Tidak pernah lagi di negeri Pahang dalam penggal sebelum ini bila bubar sahaja dewan, orang sama sahaja dilantik dan ini tidak pernah berlaku,” kata Wan Rosdy.

Beliau berkata demikian kepada sidang media khas di Wisma Sri Pahang sejurus pengumuman pembubaran Dewan undangan Negeri (DUN) Pahang dibuat hari ini.

Pembubaran DUN Pahang dibuat selepas mendapat perkenan daripada Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah berkuat kuasa pada 14 Oktober 2022.

Selain Pahang, Perlis juga membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. – MalaysiaGazette