BESUT – Jutawan hartanah, Mohamad Azlan Al Amin selesai memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dekat sini sebanyak RM15 juta terhadap seorang individu yang bertindak menyebarkan fitnah terhadapnya baru-baru ini.
Pengarah Urusan Azlan Al Amin Group Holdings Sdn. Bhd. itu berkata, beliau mempunyai banyak bukti fitnah yang dilakukan individu tersebut terhadap dirinya sejak tahun ini melalui laman sosial Facebook dikenali sebagai Che Wan Jertih sebelum kini menukarnya dengan nama Che Wan Al Lakazam.
Selain Mohamad Azlan, syarikatnya juga Azlan Al Amin Group Holdings juga menjadi plaintif kedua dalam permohonan ini.
“Saya telah selesai dengan failkan permohonan saman ini semalam, biar mahkamah lakukan proses seterusnya.
“Saya tidak boleh biarkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini terus bebas melakukan dan menyebar dakyah dakyah buruk dengan mudah tanpa fakta, saya ambil tindakan saman fitnah sebagau pengajaran kepada mereka.” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sebelum ini melalui Tetuan Noryani Ar Rais telah membuat satu tuntutan pada 26 September lepas dan telah memohon defendan membayar RM15,000,000 sebagai ganti rugi selain menarik balik atau membuang kesemua posting yang telah di muat naik dengan niat untuk mencemarkan nama Mohamad Azlan.
Plaintif turut memohon agar individu tersebut segera menghentikan segala tulisan atau berterusan menerbitkan dan mengeluarkan kenyataan fitnah berkaitan beliau atau syarikatnya.
Tuntutan permohonan maaf secara bertulis daripada beliau terhadap individu yang dikenali di laman sosial FB sebagai Che Wan Al Lakazam tidak mendapat maklumbalas.
Susulan itu peguam Mohamad Azlan mengambil tindakan lanjut dengan memfailkan saman fitnah sebanyak RM15 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Nama Muhammad Azlan mula dikenali rakyat Malaysia selepas tular kerana menjadi jutawan menerusi perniagaan hartanah walaupun asalnya beliau hanya bekerja sebagai pengutip sampah.
Malah kisah hidupnya diabadikan menerusi buku ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’ dan sejak itu terus tular dengan beberapa kisah menolong orang ramai termasuk membawa golongan miskin menaiki helikopter untuk bersiar-siar di sekitar Besut. -MalaysiaGazette